Monday, June 2, 2008

...oh ayah, oh ibu...

...ucapan seperti Happy Mother's Day dan Selamat Hari Ibu saling kedengaran sepanjang bulan Mei yang lalu, di corong-corong radio, TV, internet, majalah dan juga akhbar di serata pelusuk dunia dan ianya merupakan sambutan yang begitu istimewa buat semua insan bergelar ibu.

...seharusnya bagi kita yang masih mempunyai ibu perlu menghargai dan lebih menyayangi mereka sepenuh hati, kerana mereka adalah segalanya bagi kita. Panjangkan intro aku? Ada 2 peristiwa yang membuatkan aku nak tulis tentang kisah ibu ni. Pertamanya kerana Helmi, anak kecil yang begitu rindukan ibunya di saat ayahnya berkahwin lagi dan keduanya atas ingatan aku pada satu peristiwa yang berlaku semasa aku sedang membeli barangan keperluan di Tesco Melaka bulan lalu, semasa kehangatan Hari Ibu begitu dirasai. The story goes like this:-


...masa aku tengah shopping tu, aku terpandang seorang makcik tua yang sedang bersusah payah cuba mengambil sebungkus sabun basuh dari rak yang agak tinggi, dan setelah berjaya mendapatkannya, makcik tu tadi pun berlalu dan kami berselisih. Kelihatan riak wajah dia sedikit kepenatan mungkin disebabkan kesukaran mengambil sabun tadi atau mungkin kerana berat beban yang dibawa menghala ke arah seseorang di belakangku. Anaknya mungkin. Aku menolak troli aku ke hadapan dan tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu jerkahan kuat dari belakang.

...aku berpaling dan terpandang makcik tua tadi sedang berhadapan dengan seorang wanita yang kelihatan seperti tidak puas hati. Wanita yang bertudung dalam lingkungan usia hujung 30-an tu merenung tajam ke arah makcik tua itu tadi. "Yang mak yang memandai-mandai ambik sabun ni buat apa? Mak pegi letak balik kalau tak sapa nak bayar benda ni?" Kuat sekali tengkingan wanita tadi. MAK. Rupanya makcik tu tadi emaknya. Aku terpaku sebentar, dan aku dapat lihat bukan aku seorang yang memerhatikan apa yang berlaku. Banyak mata-mata yang memandang. Hanya memandang. Makcik tua tadi berlalu kembali memintas aku dan cuba meletakkan kembali bungkusan sabun berkenaan dan kembali ke arah anaknya sebentar tadi dan mereka pun berlalu pergi.


...aku tak dapat lupa apa yang berlaku, dan masih terngiang-ngiang ungkapan si anak sebentar tadi kepada ibunya. Seolah-olah si ibu tadi tidak punya harga diri dan air muka. Ditengking sesuka hati di khalayak umum. Setiap langkah aku sepanjang aku berada di sana aku tak dapat menerima perlakuan si anak sebentar tadi. Seolah-olah itu bukan ibunya dan dia bukan anak si ibu tua itu. Mungkin takdir menentukan, aku sekali lagi bertemu dengan mereka berdua di suatu bahagian di dalam pasaraya itu tidak lama kemudian. Si ibu kelihatan jalan menunduk di belakang wanita tadi yang sedang menolak trolinya sambil meleteri sesuatu dengan suara yang amat kuat dan kasar.

...tak perlu aku nyatakan apa yang disebut cukuplah dengan kenyataan bahawa tiada yang baik ditujukan buat si ibu dibelakangnya. Wanita itu tidak langsung memandang dan menghiraukan si ibu dibelakangnya mahupun mata-mata yang memerhati akan perlakuannya itu. Seolah-olah menjadi suatu kebanggaan pula bagi diri wanita berkenaan untuk terus mencaci si ibu tadi.

...dengan bongkak dan sombongnya wanita itu meninggalkan ibunya dibelakang. Dan saat yang aku tak dapat lupa apabila si anak dengan kuatnya berkata " Lepas ni, mak jangan lah pulak nak membawa cerita kata orang buat itu ini kat mak dekat anak-anak mak yang lain, kalau tak siaplah!" Astaghfirullah! Aku tergamam sangat-sangat masa tu, ikutkan hati muda, walaupun aku bukan anak si ibui tua tadi tapi atas dasar kasih seorang anak pada seorang ibu, aku nak saja pegi tampar perempuan tak kenang dek untung tu. Tapi aku bersabar, dalam pada tu bergenang jugk air mata aku.


...dan bila aku jumpa Liban lepas tu, aku ceritakan apa yang berlaku, dan ternyata Liban juga menyaksikan perkara yang sama berlaku di bahagian lain di pasaraya berkenaan. Aku amat-amat bersimpati atas nasib si ibu tadi. Kalau dilihat pemakaiannya, ternyata begitu kekampungan rupa si ibu berbanding anaknya yang kelihatan begitu gah dengan gaya wanita Muslimah modennya itu. Aku malu sebenarnya nak menyatakan bahawa wanita itu adalah seorang yang sama anutan agamanya dengan aku. Islam pada nama. Islam pada rupa. Itulah Islam yang kita punya pada hari ini...

...semasa aku dan Liban membuat bayaran dikaunter, sekali lagi kelibat ibu tua itu dan anak-anaknya melintas di depan kami. Dia kelihatan hanya menunduk mengekori dari belakang dan seolah-olah tidak dihiraukan anak-anaknya. Apakah dosa seorang ibu itu terlalu besar sehingga tidak dapat terampun hatta jasa pengorbanannya melahirkan setiap insan yang bernama anak diambil kira? Fikir-fikirkanlah, aku mungkin menulis pada apa yang aku lihat, aku perhati, aku fikir dan aku rasa. Tapi aku menitipkan kata-kata ini sebagai seorang insan bernama anak juga seorang guru. Kisah ini telah aku sampaikan pada anak-anak didikku sebagai satu pengajaran buat mereka.

...hargailah ibu kita sepanjang masa. Setiap hari adalah hari ibu sebenarnya. Setiap hari juga adalah hari istimewa buat bapa kita, hadirnya kita kerana meraka ada. Tiada noktah dalam berkasih sayang. Berjasalah, berbaktilah ketika mereka masih ada, masih bernyawa biar mungkin ada yang terpisah kasih sesama ibu bapa, namun hakikatnya Allah berikan kita peluang untuk memperbaiki apa kekurangan yang mungkin telah mereka cipta. Aku sayangkan kedua ibu bapaku dan aku berusaha yang terbaik untuk kesenangan dan kebahagian mereka.

...dan pada saat ini, aku tertanya-tanya sendirian, apa cerita Helmi hari ni? Jawapannya cuma akan aku perolehi seminggu dari sekarang...

1 comment:

  1. sooo saaad..huhu huhu..jom tangkap "betina" tu..kurang ajaq betoi..dia ingat maknya "hanjing" nak ditempik2..nerakalah tempatnya bg anak2 yg derhaka..

    ReplyDelete