Kenapa aku sayangkan Adik?
Aku sayang adik sebab dia yang paling bongsu, walaupun hakikatnya dia tak berapa rapat mahupun manja dengan aku, tapi aku kan abang? Aku sayangkan dia walaupun aku bermula sudah agak lambat, bila dia sudah meningkat remaja. Sepertimana aku dengan abang sulungku, ia berlaku diantara kami, namun begitu, aku cuba untuk rapat dengannya, sedikit demi sedikit, perlahan-lahan, kerana dia adalah tanggungjawab aku suatu hari nanti. Aku juga tak pernah menyangka-dengan panggilan adik yang aku ungkap setiap kali berbicara dengannya, membuatkan dia tersentuh hati kerana dia tak pernah dipanggil sebegitu melainkan namanya Amirah...
Kenapa aku sayang Achik?
Aku sayangkan Achik sebab dia adik lelaki aku yang paling bongsu. Lagipun-aku kan abang? Tak ada beza dalam cara aku melayan adik-adik aku, cuma mungkin kesedaran aku tentang realiti hidup kami sekeluarga membuatkan aku selalu bertegas dengan dia. Aku juga baru saja dapat merapatkan jarak kasih kami adik beradik-dan aku tak nak terlalu menekan walaupun aku pernah berbuat demikian. Aku pernah berada ditempat dia-memang terasa berbeza. Aku tak nak dia menjadi seperti aku, melalui apa yang aku pernah lalui. Achik-bukan saja berbeza perangai dari adik beradik yang lain, nama pun specially given oleh abah dan bukan mak. Mak berhajatkan pada nama Salman, tapi abah juga yang memberikan kata akhir-jadilah Safwan.
Kenapa aku sayangkan Abang?
Dalam ramai-ramai adik beradik, Abang ni adalah pendua aku dan aku sayang dia sebab dia adik aku. Plus, aku kan abang dia? Melihat pada abang, aku dapat melihat diri aku pada zaman aku bersekolah dahulu. Bersemangat. Bergaya (memang kami Mat Smart!). Prihatin terhadap keluarga, dan aku memang amik berat pasal abang sebab dalam jarak aku yang jauh dari keluarga, aku rasa dia memang boleh diharapkan menjaga keluarga aku. Persamaan kami cukup ketara-kami hidup kerana family dan untuk family. Jiwa kami sama-nipis dan mudah terusik. Setiap kali menjelang Hari Raya Puasa, memang mengimbau kembali saat-sat kehadiran Abang dalam keluarga dan nama Fitri itulah buktinya.
Kenapa aku sayang Kakak?
Kakak adalah adik perempuan aku yang paling tua, dan sebab tu dia dapat gelaran kakak. Dalam kejauhan ni, aku baru dapat rasa akan kekuatan rasa sayang aku kat kakak sebabnya dulu aku cukup bertegas dengan dia, sebab aku sangka sebagai abang aku patut bertidak sebegitu. Ternyata aku silap. Aku sedar akan kesilapan aku, jadi aku kan abang? Aku tak boleh rasa sentiasa betul, jadi aku baru sedari hakikat semua itu. Aku sayangkan kakak-dan aku nak tengok dia lebih berjaya dari aku. Persamaan kami-semangat belajar memang cukup kuat dan sama-sama aktif, cuma mungkin rezeki kakak belum sempurna lagi. Allah menentukan perjalannya sedikit jauh, dan perjalananku dipermudahkan demi membantu dia dan yang lain-kelak. Kerana dialah puteri pertama keluarga-Aini menjadi pilihan nama.
Kenapa aku sayang Padil?
Aku dulu mungkin sukar menyatakan aku sayangkan Padil sebab mungkin dulu kecik-kecik dia sedikit berbeza dengan adik beradik lain. Aku akui, aku dulu tak geng dengan dia sebab aku rasa dia lembab tapi bila dah dewasa-aku selalu menangis bila memikirkan hala tuju hidup dia. Aku tak kisah menangis untuk Padil sebab aku kan abang dia? Dia tak punya akal sesempurna adik beradik lain, dan aku akui-abah sayangkan dia lebih dulu. Bila dah besar,segalanya nampak jelas. Aku sayangkan dia-dan walaupun tak berapa ketara akrab perhubungan kami, tapi aku takkan membiarkan dia bersendirian melalui hidup ni. Mungkin rezekinya sedikit lambat dan perlu berkerja keras, namun aku tahu dan aku yakin perancangan Allah itu Maha Sempurna. Apapun, abang Ngah sayang semua adik-adik dia termasuklah Fadzil.
Kenapa aku sayang Ebab?
Ebab-adalah adik bawah aku. Di sekolah aku sekarang ni-ada seorang murid Tahun 6, nama sama dengan adik aku ni dan gelaran dalam family pun sama Debab (that means bulat berisi)-walaupun itu cerita semasa masih kecil, tapi ianya terpatri kuat sehingga sekarang. Aku sayang dia sebab aku tau dia jugak sayang aku lepas hampir dia buang aku sebagai saudara hanya kerana aku cuba menjadi seorang abang yang protektif dalam hidup dia. Well, aku kan abang? Aku tak salahkan dia dalam ehwal ni. Tapi masa untuk bersedih dah berlalu bagi aku. Sekarang dia dah bekerjaya, Insya Allah boleh membawa hala tuju kehidupan sendiri. Aku cuma tumpang gembira saja. Aku sayang dia-sebab tu aku sanggup menangis untuk dia semasa aku merayu pada abah untuk benarkan dia sambung belajar. Ternyata kuasa kasih sayang tu cukup kuat-cukup berkat dan ingatlah perkara tu wahai adindaku-Fadzli.
Kenapa aku mesti belajar sayangkan Long?
Aku tak pasti akan sebabnya-tapi yang pasti diakan abang? Aku cuba mencari asbab untuk aku belajar menyayanginya-namun agak sukar. Aku kena belajar menerimanya kerana aku kan abang kepada adik-adik aku yang lain. Nak disayangi-aku kena menyayangi, aku harus menerima dia sebab dia dah beri aku seorang kakak ipar yang baik dan 4 orang anak buah(termasuk arwah Najhan). Tapi bila aku mengingatkan akan 3 orang puterinya- Najjah, Najihah dan nabihah, aku rasa aku boleh belajar untuk menghargai dan menyayanginya melalui mereka bertiga. Mereka membesar bersama dengan aku dan ahli keluarga yang lain, jadi aku akan belajar menerima akan kehadiran abang sulungku-Fauzi seadanya kerana aku pasti yang dia juga tahu akan tiada yang menarik juga yang manis berlaku antara kami sepanjang membesar bersama.
Kenapa Ngah sayang Abah?
Sebab Ngah kan anak dan abah kan abah Ngah? Tanpa abah-Ngah takkan ada dalam dunia ni. Terlalu banyak sebab yang nak dicoretkan kat sini, tapi demi Allah, Ngah sayangkan abah sangat-sangat. Kalau boleh, Ngah tak nak tengok abah menangis lagi. Ngah tak nak tengok abah bersusah lagi untuk kami adik beradik. Ngah tak sampai hati nak tengok abah memikul tebu di ladang mahupun bubu di sungai semata-mata nak mencari duit belanja lebih buat kami adik beradik meneruskan kehidupan, meneruskan pelajaran. Ngah tak sanggup tengok abah bersusah lagi-sebab tu Ngah sanggup bersusah sama demi kita sekeluarga menikmati hidup yang lebih baik. Ngah tak nak lagi abah terlantar sakit apatah lagi tercedera sebab Ngah tak nak adik-adik membesar tanpa abah sedangkan Ngah dapat peluang tu. Buat masa ni, Ngah tak nak fikir sangat ehwal diri Ngah sebab Ngah nak tolong adik-adik dulu-lagipun Ngah kan abang? Bila tengok parents anak murid hantar anak-anak ke sekolah, terutamanya yang hantar naik basikal-cukup mengusik jiwa Ngah sebab Ngah akan terbayang saat abah hantar Ngah dengan basikal tua abah ke sekolah dulu-dulu. Cukup dengan bekal kisah hidup abah dulu yang pernah abah ceritakan pada kami semua-Ngah tak nak semua itu berulang. Money is something but it is not everything. Ini janji Ngah. Buat abah yang Ngah sayang. Abah jaga Ngah masa Ngah terlantar sakit dulu-Ngah ingat dan Ngah akan jaga abah sampai bila-bila, Insya Allah.
Kenapa Ngah sayang Mak?
Sebab Ngah cuma ada seorang saja ibu-itulah Mak. Mak juga sebab Ngah ada dalam dunia ni-dan berada sehingga ke tahap ini. Ngah sayang mak sangat-sangat. Dalam kejauhan ni Ngah terasa sangat jauh dari mak, sekadar gambar-gambar tak cukup mak. Ngah rindu kat mak. Sesekali bila tengok anak-anak murid bermanja-manja dengan mak masing-masing di sekolah, Ngah jadi sebak. Teringat sangat saat bersekolah dulu, mak tolong sikat rambut anak mak yang Mat smart ni. Cium tangan mak, cium pipi mak dan mak balas balik ciuman tu. Sampailah habis belajar. Sehingga sekarang, kalau boleh nak mak kucup dahi ni setiap hari sebelum pergi kerja, setiap kali nak masuk tidur. Tapi Ngah akur dengan keadaan sekarang, segalanya terbatas. Tapi mak, setiap kali apabila Ngah diajukan soalan kenapa pilih kerjaya guru? Ngah dengan penuh rasa bangga Ngah akan ceritakan yang inilah impian mak yang tak kesampaian-dan Ngah nak jadikan impian mak tu satu kenyataan. Alhamdulillah, berkat doa restu mak, Ngah bukan saja dah menyempurnakan impian mak, tapi Ngah dah tebus akan kekurangan semasa di universiti dulu. Berkat kasih sayang mak, Ngah nak berikan yang sama buat anak-anak murid Ngah sekarang ni, dan Ngah nak kongsi kisah kasih sayang ni dengan semua agar mereka tahu-kasih sayang itu tiada batasan dan kekuatannya tak dapat diduga. Ngah sayangkan mak kerana itu adalah kewajipan dan tanggungjawab Ngah.
No comments:
Post a Comment